IQNA

Muslihat Israel di sebalik ‘kebaikan’

14:07 - September 14, 2021
Berita ID: 3100126
TEHRAN (IQNA) -“Ia tidak mengubah apa-apa untuk kami. Memandangkan kami tidak mempunyai alat ganti yang diperlukan untuk penyelenggaraan dan pembaikan, kebanyakan bot tidak dapat pergi sejauh itu”.

Demikian luahan seorang nelayan warga Palestin, Khaled al-Habil.

Kenyataan Khaled merujuk kepada perluasan zon penangkapan ikan di Gaza yang diumumkan oleh Koordinator Aktiviti Kerajaan di Wilayah Israel (COGAT), sebuah unit tentera Israel bertanggungjawab atas hal ehwal awam di wilayah Palestin.

Antara langkah lain, zon penangkapan ikan diperluaskan hingga 28 kilo­meter (km).

Walaupun Perjanjian Oslo yang ditandatangani pada 1990-an mewajibkan Israel membenarkan bot menangkap ikan pergi sejauh 37 km, perkara itu tidak dipenuhi oleh rejim Zio­nis.

Suasana di al-Mina yang juga pelabuhan utama Gaza, merupakan petunjuk baik mengenai ketegangan politik.

Israel sering mengekang zon kepada nelayan di Gaza sebagai tindak balas terhadap keputusan Hamas atau protes anti-penjajahan.

Ketidakstabilan itu menjejaskan kehidupan kira-kira 4,000 nelayan dan keluarga mereka selain ribuan penduduk yang terlibat dalam industri tersebut.

Keluarga Khaled antara golongan yang terjejas secara langsung.

Khaled, 55, mewarisi pekerjaan itu dari bapanya ketika berusia 10 tahun dan kemudian diteruskan oleh lima orang anak lelakinya.

“Kami hanya tahu menangkap ikan tetapi pekerjaan ini berdepan pelbagai ancaman,” katanya.

Keluarga Khaled memiliki sebuah kapal pukat tunda yang sudah tidak beroperasi lebih dua tahun.

Menurut Khaled, kapal pukat tunda yang mampu menampung pendapatan lebih 20 keluarga, tidak lagi berfungsi disebabkan masalah enjin.

Jelasnya, alat ganti yang dapat menyelesaikan masalah enjin itu tidak boleh didapati di Gaza kerana sekatan Israel-Mesir.

“Isu kekurangan alat ganti dan bekalan disekat daripada memasuki Semenanjung Gaza perlu ditangani oleh pihak berkuasa Israel,” katanya.

Ketika ditanya mengenai tuntutan mereka, keenam-enam anak lelaki Khaled berpandangan perluasan zon penangkapan ikan tidak mencukupi bagi nelayan di Gaza berkembang maju.

Malah tegas mereka, sekatan dan kepungan yang dikuatkuasakan di Gaza harus ditarik balik sepenuhnya.

ISRAEL TETAP KENAKAN SEKATAN
Sejak beberapa minggu lalu, penduduk Palestin melakukan protes membantah sekatan Israel yang melumpuhkan Gaza.

Sebagai respons terhadap ketegangan semakin meningkat itu, COGAT mengumumkan perluasan zon penangkapan ikan dan beberapa langkah lain.

Antaranya, bekalan air ke Gaza sudah meningkat sebanyak lima juta meter padu, kuota bilangan pedagang Gaza dibenarkan melalui lintasan Beit Hanun atau Erez me­ningkat kepada 7,000 orang berbanding 2,000 individu sebelum ini dan persimpangan Karem Abu Salem dibuka sepenuhnya untuk laluan barangan dan peralatan.

Terletak di selatan antara Gaza dan Israel, Karem Abu Salem merupakan laluan perdagangan utama Gaza.

Petani, pemain sektor pembuatan dan bekalan yang menggajikan beribu-ribu orang, bergantung kepada kebenaran melalui laluan berkenaan bagi memajukan perniagaan ma­sing-masing.

Bagaimanapun, Israel ‘ber­kuasa penuh’ apabila menetapkan apa yang boleh dibawa, jumlah barang dan waktu yang dilihat penduduk Gaza sebagai tidak membawa apa-apa perubahan langsung.

“Nampaknya tiada apa yang akan berubah kerana ia berope­rasi pada kapasiti sama seperti sebelum perang,” kata Pengarah Penyelidikan di Institut Penyelidikan Dasar Ekonomi Palestin (MAS), Rabeh Morrar kepada al-Jazeera.

Menurut Rabeh, pada satu-satu masa, sebanyak 1,000 trak boleh melintasi Karem Abu Salem tetapi ketika ini Israel hanya menetapkan 300 trak.

Beliau memberitahu, kerana perang 11 hari di Gaza pada Mei lalu, kadar pengangguran yang tinggi, penularan Covid-19 dan penangguhan bantuan dari Qatar, kehidupan ekonomi di Gaza amat memilukan.

“Penduduk tiada wang di tangan mereka untuk membeli barang keperluan,” katanya.

Jelasnya, walaupun bahan binaan dibenarkan masuk ming­gu lalu, bahan itu hanya untuk kegunaan swasta dan organisasi antarabangsa, bukan untuk pembangunan Gaza.

BEKALAN AIR
Selain itu, isu bekalan air masih membelenggu penduduk di Gaza.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menetapkan 100 liter sebagai keperluan minimum bagi penggunaan air per kapita setiap hari. Jumlah itu merangkumi kegunaan untuk keperluan asas antaranya minum, mandi dan memasak.

Namun, purata penggunaan air per kapita hanyalah 88 liter setiap hari berbanding di Israel lebih 200 liter.

Hanya sebanyak 10 peratus air di Gaza diperoleh dari Israel.

Penjajahan dan sekatan masih mempunyai kesan besar terhadap krisis air di Semenanjung Gaza.

utusan.com.my

captcha