IQNA

Halal dipatuhi, kehidupan diberkati

17:31 - November 06, 2021
Berita ID: 3100375
TEHRAN (IQNA) - ISLAM memberi panduan dalam segala aspek kehidupan manusia termasuklah aspek pemakanan halal. Allah S.W.T mengingatkan kita supaya memastikan makanan atau minuman yang diambil adalah halal lagi baik.

Firman Allah S.W.T:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

“Wahai sekalian manusia, makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.”

Dalam al-Quran perkataan Halalan Toyyiban disebut berulang kali, menunjukkan Islam bukan sahaja mementingkan halal, tetapi makanan itu juga mestilah baik. Ada yang beranggapan halal itu hanya tidak mengandungi unsur-unsur yang haram seperti khinzir dan arak semata-mata sedangkan aspek sumber kewangan, kebersihan, cara pengendalian dan pemprosesan sesuatu makanan itu juga perlu diberi perhatian.

Sumber makanan yang diberikan kepada isteri dan anak-anak mestilah halal lagi baik, bukan daripada sumber pendapatan daripada pekerjaan yang haram dan tidak menepati syariat Islam.

Renungkan Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

لَيَأْتِيَنَّ عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ لاَ يُبَالِي الْمَرْءُ بِمَا أَخَذَ الْمَالَ، أَمِنْ حَلاَلٍ أَمْ مِنْ حَرَامٍ

 “Akan tiba satu zaman di mana seseorang itu tidak menghiraukan dari mana datang hartanya, apakah daripada yang halal atau daripada yang haram.”

(Riwayat al-Bukhari (2083))

Marilah kita sama-sama cakna terhadap isu pemakanan halal dan berhati-hati supaya kita tidak terjebak dengan pemakanan yang haram dan syubhah.

Semoga dengan kesungguhan kita memastikan pemakanan halal dalam keluarga kita melalui sumber pendapatan yang halal akan dilimpahi dengan keberkatan daripada Allah S.W.T.

harakahdaily

captcha